~ kembar tiga ..


Bayi Perempuan Kembar Tiga Dibantu
BALING – Sepasang suami isteri yang mempunyai bayi perempuan kembar tiga berusia enam bulan terharu apabila kesusahan mereka mendapat perhatian ahli Kelab Kereta Wilayah Utara dari Seberang Perai yang tampil menghulurkan bantuan.
Mansor Ibrahim, 44, dan isterinya Yusniza Yusuf, 37, dari Kampung Kubang Rusa, Mukim siong, Baling, menempuh pelbagai cabaran untuk membesarkan ketiga-tiga bayi kembar mereka sejak dilahirkan kerana kemiskinan.
Yusniza berkata beliau bersyukur kerana kesemua bayinya, Nurul Fasihah, Nurul Farishah dan Nurul Farisha sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan sejak dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
Seramai 30 ahli kelab itu pada Sabtu menyumbang 20 bungkusan lampin pakai buang, susu dan wang tunai kepada Mansor dan isterinya bagi meringankan penderitaan mereka.
Mansor yang bekerja sebagai pemandu lori kayu getah secara sambilan sejak beberapa bulan tiada pendapatan tetap manakala Yusniza suri rumah sepenuh masa.
Ahli persatuan itu diketuai pengerusinya, Mohd Faizal Abdullah, 32, turut membawa Mansor, isterinya dan anak kembar mereka membeli pakaian di sebuah pasar raya di kompleks perniagaan Batu 42, Baling.
Menurutnya ahli persatuan merasa simpati dengan kesusahan keluarga itu dan mengumpulkan wang berjumlah RM1,000 untuk disumbangkan kepada pasangan suami isteri itu membesarkan anak mereka.
Tiga bayi kembar itu masing-masing perlu minum tujuh hingga lapan botol susu dan lima hingga enam helai lampin pakai buang sehari.
“Sebagai pemandu lori kayu getah sambilan dengan pendapatan RM400 sebulan, saya tidak mampu menyediakan keperluan untuk anak kembar kami selain membesarkan seorang lagi anak, Mohd Adam Haikal, 3 tahun,” kata Mansor. Menurutnya beliau telah memohon bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling tetapi hingga sekarang belum mendapat jawapan. – BERNAMA

1 comment: